Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :.
Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada kami (dalam segala keadaan) sama ada ia sedang berbaring ataupun duduk atau berdiri, dan manakala kamihapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah ia tidak pernah merayu kepada kami memohon sebarang kesusahan yang menimpanya,(sebagaimana) ia memandang eloknya bawaan itu,demikianlah diperelokkan pada pandangan orang yang melampau apa yang mereka lakukan.
(Surah Yunus 10:12)
Manusia sering melampaui batas dan had yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al Quran.Mereka tidak mahu tunduk kepada dustur dan sistem yang termaktub dalam Kalamullah. Mereka masih berbangga dengan idea ciptaan manusia berbanding dengan wahyu. Fenomena ini lazimnya dialami oleh manusia yang berkuasa, berpangkat dan berharta.Mereka merasakan diri mereka pandai dan hebat seolah-olah tidak perlukan nasihat orang lain.Semua tindakkannya dianggap betul dan semua orangmesti mematuhinya. Mereka lupa kepada Pencipta Yang Maha Agung dan Maha Kaya. Kisah puak-puak pelampau ini banyak dipaparkan di dalam Al Quran....
Manusia juga cepat marah dan tidak senang apabila ditegur.Segala peringatan dan teguran dianggap kritikan untuk memburukkan dirinya.Mereka tidak bersikap positif apatah lagi untuk mengambil manfaat daripada teguran itu.Mereka lebih suka melihat kepada orang yang menegur bukan kepada isu atau kesalahan yang ditegur itu. Jika orang yang ditegur itu tidak setaraf dengan dirinya maka teguran itu tidak akan didengar bahkan sipenegur itu akan dicemuhnya.
Perlu diingat tidak semestinya idea seseorang intelektual atau seseorang yang berjawatan tinggi iatu sentiasa betul, ada ketikanya pandangan orang bawahan lebih tepat kerana biasanya mereka lebih dekat dengan masalah tersebut. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan masing-masing kecuali Para Nabi dan Rasul, sikap merasakan diri sempurna dan memperlekehkan orang lain perlu dibuang jauh-jauh.
Manusia juga mempunyai sikap sombong, sombong dengan ketinggian Ilmu, amal ibadat, keturunan, harta , pengaruh, kecantikkan dan sebagainya.Kononya dialah yang paling alim dan semua orang mesti mengikut pandangannya sahaja dan jika dijemput kemajlis ilmu dikenakan bayaran yang tinggi sesuai dengan tarafnya.Justeru itu, sikap buruk ini mengundang bencana kepada diri pemiliknya. Untuk itu kita mesti mengetahui tanda-tanda orang yang sombong supaya kita terhindar daripada golongan ini antaranya:
1. Bangga apabila dirinya lebih maju daripada orang lain
2. Suka menonjolkan diri
3. Mahu dipentingkan dalam majlis keraian
4. Bergaya atau angkuh ketika berjalan
5. Membantah teguran orang walaupun dirinya salah
6. Suka menindas orang lemah atau miskin
7. Suka memuji diri
8. Selalu bermegah dengan keturunan

0 ulasan:
Catat Ulasan